Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, kira-kira 8.3 juta surat dan e-mel yang dikeluarkan oleh LHDN kepada pembayar cukai berdaftar merupakan makluman berkenaan PKPS yang mula dilaksanakan pada 3 November lalu dan akan berakhir pada 30 Jun depan.

"Pembayar cukai yang telah melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai yang sepatutnya kepada LHDN serta yang telah membuat penyeteman suratcara dalam tempoh yang ditetapkan boleh mengabaikan surat atau emel pemakluman tersebut.

"Pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh program ini akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada pihak LHDN," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sabin menjelaskan, LHDN juga menasihatkan pembayar cukai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program berkenaan. 

"Pembayar cukai boleh mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut mengenai program ini dengan mengunjungi pejabat LHDN berhampiran, menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-77136666 di luar negara selain enghantar e-mel pertanyaan kepada [email protected]," katanya. - UTUSAN ONLINE