Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sikap mengabaikan alam sekitar bagi memberi laluan kepada pembangunan yang dirancang atas alasan memajukan sesuatu kawasan tidak boleh diterima sama sekali.

“Alam sekitar diceroboh de­ngan rakus hingga menyebabkan kejadian meragut nyawa seperti tanah runtuh, banjir atau pun kebakaran hutan.

“Namun, saya berbangga dengan ketegasan kerajaan ne­geri yang tidak berkompromi dengan isu alam sekitar,” kata­nya dalam majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Selangor di sini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mencemar duli men­yempurnakan sambutan itu.

Turut berangkat mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha serta Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Muhammad Ridzuan Arshad.

Amirudin memberitahu, Se­langor telah melaksanakan Kerangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) bagi membantu mengurangkan pencemaran serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

“Daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, tujuh daripadanya telah me­laksanakan inisiatif LCCF sepenuhnya dan saya harap baki lima lagi PBT dapat berbuat demikian,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Ridzuan berkata, kerajaan ne­geri juga mempunyai satu jawatankuasa khas untuk memantau pembangunan di kawasan lereng bukit bagi mengelak kejadian tanah runtuh dan ha­kisan.

“Setiap pembangunan di lereng bukit perlu mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kawasan Sensitif Alam Sekitar Negeri Selangor terlebih dahulu sebelum membuat permohonan kebenaran merancang daripada PBT.

“Jawatankuasa yang dipengerusi oleh saya sendiri dan turut disertai Jabatan Kerja Raya, Institut Kerja raya Malaysia (Ikram) dan agensi berkaitan yang lain ini bertujuan menilai semua aspek teknikal secara profesional bagi setiap permohonan yang dibuat,” jelasnya.