Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

Memberi jaminan itu ketika menggulung usul TPPA di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun ada pihak terutama pembangkang menganggap Malaysia akan dijajah dengan sistem kapitalis dan sosialis, namun negara akan tetap kekal bersaing di tengah-tengah kedua-dua blok ekonomi tersebut.

“Mereka anggap kita akan dijajah sistem kapitalis manakala model ekonomi kita akan dicampuri sosialis, itu tidak akan berlaku.

“Kita ada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain.

“(Maka) jangan bimbang kerana model ekonomi kita bercampur-campur, tetap ada (mengutamakan kepentingan) bumiputera, GLC dan sebagainya,” kata beliau.

Mustapa menambah, tuduhan bahawa TPPA menggunakan ‘template’ perjanjian yang dicipta Amerika Syarikat (AS) adalah tidak benar kerana Malaysia sendiri sudah merangka draf perdagangan sendiri yang menjaga kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Katanya, Malaysia mempunyai pelbagai program dan contohnya, SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang membentuk kerjasama dengan PKS tempatan.

Beliau memberitahu, SME Corp juga merangka pelbagai program yang melindungi dan meningkatkan penyertaan bumiputera di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, bentuk kerjasama itu juga tidak terdapat dalam mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

“Dalam negara ini, sektor perkhid­matan melebihi 90 peratus dan itu termasuk kedai runcit, kedai potong rambut, spa, jual kad prabayar dan bengkel kereta.

“Melalui TPPA, kita tidak nampak tukang gunting, pengusaha kedai runcit dan sebagainya ini akan dipenuhi dengan orang AS,” ujarnya.