Beliau berkata, Lynas telah melabur lebih RM1 bilion untuk operasinya di Malaysia cuma proses pelombongan nadir bumi itu dikatakan mempunyai radioaktif pada sisanya.

Katanya, kajian pakar melaporkan sisa radioaktif "pada tahap sangat tendah" dan tidak berbahaya kepada kesihatan dan beliau berpendapat terdapat juga cara untuk mengurangkan lagi "radioaktif yang sikit itu".

"Kita yang panggil (datang melabur) lepas tu kita halau dia keluar.

Orang lain kata negara buat janji, bila buat masalah dia halau pelabur...tak boleh macam tu," katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Fukuoka pada Khamis.

Dr Mahathir berkata pelabur asing langsung sedang memerhatikan tindakan kerajaan terhadap Lynas.

"Kalau kita halau pelabur asing Lynas ini, yang lain (pelabur asing) tak akan datang (Malaysia). Sebab ada yang kita tak suka...maka kita suruh dia (pelabur) keluar. Siapa (pelabur) nak datang, mereka perlukan kepastian," katanya.

Dr Mahathir berkata, jika sisa radioaktif itu berbahaya, pekerja di Lynas Malaysia yang terdiri daripada kira-kira 600 jurutera tempatan akan sakit.

"Pakar buat laporan itu tapi ada pihak tak terima keputusan expert itu. Ini jadi masalah kalau kita suruh pakar buat kajian, tapi tolak. Apa guna suruh pakar buat kajian," katanya.

Selain kehilangan pelaburan, 600 pekerja tempatan juga akan hilang pekerjaan jika Lynas ditutup, katanya.

"Enam ratus pekerja di situ orang kita, mereka tak takut pun, mintak (operasi) diteruskan," katanya. - BERNAMA