Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar mengakui bahawa negara masih dibelenggu isu integriti melibatkan penjawat awam dan sehubungan itu menuntut semua pihak memberi perhatian serius bagi menangani perkara tersebut.

Beliau memberitahu, kerajaan tidak mampu untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang sempadan negara kerana memerlukan kos yang amat tinggi.

“Oleh itu, masalah ini hanya boleh diselesaikan apabila kita (penjawat awam) mempunyai integriti kerja yang tinggi. Peraturan bidang kerjaya yang ada sejak dahulu dan sekarang sudah pun lengkap dan perlu diperelokkan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah selama sejam kepada lebih 200 orang kakitangan awam negeri Kedah dan Perlis di Dewan Permata Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (PLAK) Wilayah Utara di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Suhaimie Mahbar dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Isahak Murat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd. Yusof; Timbalan Pengarah Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Mohd. Bakhari Ismail dan Pegawai Kemajuan Negeri Kedah di Jabatan Perdana Menteri, Megat Sany Megat Sapuan.

Ismail seterusnya menasihatkan penjawat awam supaya meningkatkan mutu perkhidmatan yang pantas, cekap dan mesra berikutan tuntutan semasa sekali gus mendapat kepercayaan rakyat.

“Janganlah terjebak dengan politik secara melampau yang sehingga menyusahkan rakyat,” tambah beliau lagi.

Beliau turut memberitahu bahawa bilangan penjawat awam bakal berkurangan kira-kira 10 peratus pada masa hadapan jika pelbagai proses permohohan dan bayaran dapat dilakukan secara dalam talian.

Ismail turut memuji akhbar Utusan Malaysia kerana terus melangkah maju dengan memperkenalkan Utusan Online yang kini menjadi pilihan penduduk dan dibaca oleh kira-kira lima juta pengunjung. - UTUSAN ONLINE