Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun jumlah pekerja warga asing yang menghidap penyakit berjangkit itu tidak ramai namun peratusannya berbanding nisbah penduduk adalah tinggi dan kementerian tetap mengambil serius untuk mencegahnya.

Menurutnya, berdasarkan statistik kementerian pada 2018, terdapat sebanyak 12.5 peratus atau 3,242 orang warga asing menghidap penyakit tersebut daripada keseluruhan 22,595 penghidap di seluruh negara.

“Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi penghidap warga asing dengan masing-masing mencatatkan 43.9 peratus dan 31.1 peratus manakala Terengganu paling rendah dengan 1.8 peratus.

“Ini amat jelas bahawa warga asing merupakan antara penyumbang kepada penularan penyakit tibi di negara ini dan kemasukan mereka ke negara ini perlu diperketatkan lagi saringannya.

“Semua pihak yang mengawal pintu masuk negara termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia juga perlu sama-sama memainkan peranan sebagai ‘gate keeper’ dan tidak hanya mengharapkan Kementerian Kesihatan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia peringkat kebangsaan 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE