Datuk Rahman Shaari

 Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair), Datuk Rahman Shaari berkata, kaedah pengajaran sastera secara berfokus serta melalui pendekatan mengalami dan menghayati dapat membantu membina peribadi generasi muda menjadi 'insan' sebenar.

Rahman yang merupakan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara atau Sea Write Award 2007 berkata, bagi mencapai hasrat itu, penyediaan bahan sastera berkualiti mengikut pemeringkatan atau tahap pelajar adalah penting dan bukannya menggunakan karya semberono sahaja.

 "Subjek sastera dapat mendidik manusia menjadi insan walaupun kita tidak nafikan peranan subjek agama tetapi bagi saya sastera bersifat tidak langsung, berseni dan lebih bijaksana.

 "Peminggiran subjek sastera menyebabkan sebahagian cara manusia berbudi bahasa diketepikan termasuk tidak hormat orang tua kerana tumpuan hanya kepada kemodenan dan benda fizikal.

 "Dengan kaedah pengajaran yang 'nipis' sudah tentu pelajar tidak berpeluang mendalami sastera atau hanya untuk lulus peperiksaan sahaja. Sastera tidak boleh dipermudahkan kerana ia mempunyai unsur pemikiran, budaya dan akhlak secara bersepadu sebab itu  guru juga perlu bersedia untuk memahami karya sastera dengan betul dalam berhadapan dengan pelajar," katanya.

 Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel program Wacana Sasterawan 'Menginsankan Manusia dengan Sastera' di Dewan Besar, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) negeri di sini hari ini.

 Seorang lagi ahli panel wacana yang bergandingan dengan beliau adalah Sasterawan Negara Ke-13, Datuk Dr Zurinah Hassan. Program itu telah dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

 Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari; Pengarah Pendidikan negeri, Abu Hanifah @ Fauzi Zahari dan Pengarah DBP Wilayah Timur, Che Zainab Omar.

 Sementara itu, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Hassany Hashim berkata, sehingga kini terdapat 74 buah sekolah daripada 179 buah sekolah menengah di negeri ini yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu.

 Beliau berkata, subjek itu akan dikenali dengan Kesusasteraan Melayu Komunikatif pada tahun hadapan setelah melalui pengubahsuaian yang memberi ruang pelajar berkarya dalam pelbagai bentuk.

 "Kesusasteraan Melayu masih lagi belum menjadi subjek wajib tetapi kita lihat minat pelajar semakin meningkat, tahun lalu hanya 70 buah sekolah sahaja menawarkan subjek ini tetapi meningkat kepada 74 sekolah tahun ini dan ditambah dua buah sekolah lagi pada tahun hadapan.

 "Dari segi pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), subjek ini sering termasuk antara 10 subjek yang memperoleh keputusan terbaik di negeri ini," katanya. - UTUSAN ONLINE