Menurut Pegawai Seksyen Penguatkuasa Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Khalid Osman, perkara itu jelas seperti yang digariskan di bawah Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.


“Jika pemilik premis makanan atau minuman memohon sijil halal Jakim, mereka perlu membaca manual tersebut yang jelas menyatakan mengenai syarat dan peraturan pensijilan halal.


“Atas sebab itu, apabila ada unsur-unsur penyembahan di premis berkenaan, sudah tentu kita tidak akan meluluskan permohonan sijil halal kepada premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia menggariskan beberapa perkara berkaitan dengan alat dan unsur penyembahan iaitu di bawah keperluan umum pensijilan, keperluan khusus pensijilan mengikut skim serta pemantauan dan penguatkuasaan.


Alat atau unsur penyembahan agama yang terletak di kawasan pemprosesan atau dapur digariskan di bawah kesalahan besar dan boleh dikenakan tindakan penggantungan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.


Susulan daripada kesalahan tersebut itu, pegawai pemeriksa perlu mengemukakan kepada Panel Pengesahan Halal untuk keputusan muktamad. 


Semalam, sebuah restoran makanan India di Little India, Georgetown, Pulau Pinang didapati meletakkan tanda logo halal pada risalah menu yang turut memaparkan gambar dewa Hindu.


Kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri; Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). - UTUSAN ONLINE.