Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, laporan sama pernah disiarkan sekitar 2013 dan 2014 tetapi kini diulang siar sekali lagi bagi menyalahkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, langkah tersebut sebenarnya adalah satu percubaan untuk menyembunyikan ketidakcekapan kerajaan PKR Selangor dalam pengurusan air.

“Mengikut kapasiti reka bentuk, rizab margin simpanan air di Selangor pada tahun lalu adalah kosong peratus. Faktor ini dikenalpasti antara penyumbang utama masalah bekalan air di Selangor.

“Jika berlaku kerosakan loji, paip pecah atau kenaikan permintaan mendadak seperti di musim perayaan, kemungkinan kawasan tertentu di Selangor mengalami gangguan bekalan air adalah tinggi,” kata­nya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, jalan penyelesaian kepa­da permasalahan air tersebut antaranya ada­lah menambah be­kalan air terawat menerusi pembinaan loji rawatan air baharu.

“Selain itu, jalan penyelesaian adalah dengan mengurangkan kadar air hilang. Sebagai contoh, Selangor berada pada tahap 32 peratus berbanding sasaran nasional iaitu 25 peratus.

“Dalam pada itu, perlu juga dikurangkan penggunaan per kapita, sebagai contoh di Selangor penggunaannya adalah 234 liter per kapita sehari berbanding kadar nasional iaitu 209 liter per kapita sehari,” ujarnya.

Tambahnya, jumlah gangguan bekalan air adalah petunjuk utama untuk mengukur tahap kecekapan perkhidmatan bekalan air.

“Sebagai contoh, Selangor mencatatkan jumlah gangguan tertinggi iaitu 259,537 gangguan pada 2016 berbanding Pulau Pinang 3,778 dan Melaka 2,267,” katanya.