Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, sebanyak 140 peserta daripada 14 pasukan akan berentap dalam tujuh kategori pertandingan yang antaranya melibatkan pihak berkuasa tempatan, pasukan beruniform, pelajar universiti dan sekolah menengah.

"Penganjuran acara ini adalah julung kalinya di Malaysia dengan tujuan untuk mewujudkan tradisi Boat Race di Putrajaya sebagaimana dibuat di London, Amerika Syarikat dan Jepun.

"Selain itu ia bagi menjadikan Tasik Putrajaya diwarnai pelbagai acara sukan air sekali gus menjadikanya lokasi dan hub utama sukan air di negara ini," katanya dalam Program Temubual sempena TPBR 2019 di sini semalam.

Aminuddin menjelaskan, TPBR 2019 yang dianjurkan oleh PPj bersama Persatuan Mendayung Putrajaya akan bermula di Yayasan Kepimpinan Perdana dan berakhir di Kelab Tasik Putrajaya dengan melibatkan jarak perjalanan sejauh 3.8 kilometer (KM).

Katanya, para peserta akan melalui 10 lokasi ikonik Putrajaya iaitu Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau dikenali Masjid Besi, Istana Darul Ehsan, Jambatan Seri Perdana dan Monomen Alaf Baru.

Ujarnya lagi, keunikan acara itu adalah Perdana Menteri akan bersama-sama para atlet sepanjang perlawanan dengan beliau sendiri akan mengekori belakang bot ketika perlawanan akhir Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia pada pukul 4.30 petang.

"Sehubungan itu, kami mengharapkan orang ramai dapat memeriahkan acara ini yang bermula dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan sekali gus kehadiran anda ini dapat menaikkan Putrajaya bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran negara tetapi lokasi pilihan penganjuran acara bertaraf antarabangsa dan nasional," katanya.-UTUSAN ONLINE