Menurut bekas Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin, menerusi agensi itu, sebuah kawasan di Melaka telah dijadikan plot tanaman percubaan sejak setahun lalu dan berjaya menghasilkan pokok-pokok guarana berkualiti.

Kata beliau, tanaman guarana adalah lebih baik dan berpotensi kerana selain menarik minat pekebun, ia juga mendapat permintaan tinggi di luar negara berbanding buluh yang belum pasti pasarannya.

“Saya berharap kerajaan meneruskan usaha RISDA sebelum ini kerana asasnya telah ada. Ini termasuk mendapatkan kelulusan penanaman (secara komersial) daripada Jabatan Pertanian.

“Dalam masa sama, agensi kerajaan dapat melakukan penyelidikan terhadap pencegahan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) yang menjadi ancaman tanaman ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah Zahidi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, tanaman guarana seharusnya melalui penyelidikan dan bantuan kerajaan serta bukannya syarikat-syarikat tertentu yang boleh mengakibatkan pekebun kecil khususnya getah, tertipu dengan pelbagai skim.

Katanya lagi, dalam keadaan harga getah yang tidak menentu pada masa ini, tanaman guarana dilihat sebagai inisiatif terbaik bagi membantu golongan tersebut.

Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan tindakan licik seorang individu bergelar ‘Datuk’ dipercayai memperdaya ratusan petani untuk membangunkan tanaman guarana di beberapa buah negeri walaupun Jabatan Pertanian masih belum memberikan kelulusan. - UTUSAN ONLINE