Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu menyebabkan Mustafa Muhammad Nor, 48, bersama isteri dan seorang anak lelakinya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran.

Mustafa berkata, dia yang bangun dari tidur selepas mendengar bunyi sesuatu pecah di ruang tamu terkejut apabila melihat api sudah marak di ruang tamu.

"Pada masa itu memang tidak dapat lagi keluar daripada pintu hadapan dan saya terus mengejutkan anak lelaki dan isteri sebelum

lari ke pintu belakang.

"Saya bersyukur kerana isteri saya tertinggal kunci di pintu besi yang memudahkan kami keluar melalui pintu belakang. Kalau tidak, saya tidak tahu apa akan berlaku kepada kami kerana perlu mencari kunci sedangkan api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ahli Parlimen Temerloh, Mohd. Anuar Tahir turut hadir bersama beberapa pemimpin lain bagi melihat keadaan Mustafa dan menyampaikan bantuan.

Menurut Mustafa, meskipun tinggal sehelai sepinggang, dia bersyukur kerana keluarganya selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Pada masa ini, katanya, dia dan keluarga terpaksa menumpang di sebuah inap desa buat sementara waktu. - UTUSAN ONLINE