Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, perkara itu disentuh ketika mesyuarat antara Menteri Pengangkutan dengan Exco-Exco Pengangkutan negeri pada tahun ini dan tahun lalu.

Menurutnya, cadangan itu bagaimanapun masih sedang diperhalusi dan belum ada sebarang keputusan, namun tidak menolak kemungkinan menswastakan terminal itu pada masa depan.

“Cadangan itu mungkin boleh berlaku kerana kerajaan berada dalam keadaan kekurangan dana untuk menaik taraf terminal ini,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Teh Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri bercadang untuk menswastakan terminal tersebut bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

Terdahulu, Swee Leong turut bertanya rancangan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dalam menaik taraf terminal tersebut memandangkan ia tidak dinaik taraf sejak sekian lama.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) selaku pengendali kompleks terminal itu juga pernah memohon peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf fasiliti dan terminal utama di situ.

“Antara komponen cadangan lain yang dikemukakan mereka adalah naik taraf jalan-jalan di situ, membaiki sistem perparitan, membina landskap pintu masuk terminal dan bumbung sambungan antara terminal utama dengan terminal tempatan selain naik taraf tempat meletak kenderaan dan pangkalan kereta sewa.

“Selain itu, kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk membangunkan Terminal Bas Shahab Perdana dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya yang turut memaklumkan sebanyak 22 syarikat bas beroperasi di terminal itu ketika ini. -UTUSAN ONLINE