Berikutan itu, mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Klawang dekat sini petang tadi.

Dalam aduannya, Dato' Ombi Pangkal Maharaja Lela (Dato' Ombi) Kadim Kidam berkata, beliau dan para Dato' Lembaga terkejut dengan penyebaran surat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan melalui aplikasi WhatsApp pagi tadi.

Katanya, kandungan surat itu yang menyatakan mengenai pengesahan terhadap pelantikan Maarof telah mengelirukan masyarakat di negeri ini.

"Kami membantah keputusan dewan tersebut yang tidak bermuafakat dengan kami seperti yang disebut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dalam surat pada 13 Disember lalu.

"Oleh itu, kami meminta dewan membatalkan pengisytiharan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam laporan itu, tambahnya, pihaknya turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Datuk Jemal Zainal Kasim atas dakwaan salah laku dan kepentingan tertentu dalam pengisytiharan pelantikan itu.

Yang turut hadir semasa laporan polis itu dibuat ialah, Dato' Raja Balang Norhairizan Ab. Mukti; Dato' Maharaja Inda Mohd. Nordin Mansor; Dato' Senara Angsa Rosly Mohd. Zain dan Dato' Shahbandar Mohd. Rathi Shamsudin. - UTUSAN ONLINE