Jika sebelum ini hanya mampu menatap wajah baginda dalam media massa, namun pada Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 yang bermula hari ini, dia antara yang amat bertuah kerana bukan sahaja dapat berjumpa, malah Permaisuri Johor kesayangan rakyat itu sudi singgah di rumahnya di Kampung Sungai Nibong, Semerah, dekat sini.

Nyata, Jamiah yang hanya terbaring selepas menjalani pembedahan bisul kira-kira empat bulan lalu mengakui amat terkejut apabila dimaklumkan Raja Zarith Sofiah berkenan singgah menjenguknya dan suami, Saien Marimin, 73, kira-kira sebulan yang lalu.

“Makcik amat terkejut apabila dimaklumkan Tuanku Permaisuri akan datang.

“Rasa malu pun ada, namun rasa amat bertuah juga kerana Tuanku sudi datang bertanya khabar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jamiah memberitahu, selepas menjalani pembedahan bisul di paha kanannya, hingga kini dia tidak dapat bergerak dan hanya terbaring.

Mujur ada suami dan anak kedua, Azhar, 40, serta tiga anaknya yang tinggal bersama-sama mereka membantu menguruskan keperluan hariannya.

Malah, suaminya juga sudah uzur dan tidak lagi mampu untuk mengusahakan kebun kelapa sawit seluas 1.2 hektar.

“Sekarang suami upah orang untuk usahakan kebun berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Zarith Sofiah turut menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Jamiah. - UTUSAN ONLINE