Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, bagi tujuan itu, pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan beberapa permohonan dalam usaha membantu merancakkan lagi aktiviti pembangunan di negeri ini demi kesejahteraan rakyat.

“Sesebuah negeri dapat dibangunkan dengan lebih baik untuk kesejahteraan rakyat. Kita pertimbangkan permohonan untuk tingkatkan kemajuan Terengganu dalam bidang infrastruktur, pelancongan dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita sslepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama Dr. Ahmad Samsuri; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.

Zuraida memberitahu, kunjungannya ke negeri ini hari ini adalah dalam siri lawatan kerjanya ke beberapa negeri dengan Terengganu merupakan destinasi kedua terakhir sebelum menamatkan lawatan ke Perlis selepas ini.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri pula merakamkan penghargaan atas kunjungan hormat Zuraida sebagai tanda kerjasama erat antara kerajaan Pusat dengan kerajaan Negeri Terengganu.

“Banyak perkara dibincangkan dalam pertemuan hari ini demi kepentingan bersama, termasuk projek pelupusan sampah di Kampung Tertak Batu di Marang, projek Pasar Kedai Payang dan juga projek bina stesen teksi dan bas di Jerteh,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE