Terkini, inovatif dron akan membantu pula bidang pertanian khususnya perusahaan komoditi kelapa sawit dalam meningkatkan hasil pengeluaran membabitkan teknologi robotik.

Inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan oleh konsortium teknologi Kambyan Network Sdn. Bhd. yang menggunakan teknik laser itu, bakal menjadi kenyataan apabila projek perintis pemotongan buah kelapa sawit akan dilaksanakan di sebuah ladang seluas 323.7 hektar di Tanjung Malim, Perak, April ini.

Dron Airborne Laser Cutter ALC MK1 yang dibangunkan syarikat itu penuh dengan ciri-ciri unik termasuk keupayaan mengenal pasti buah yang sudah boleh dipetik.

Menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan Kambyan Network, K. Sudhir, pemotongan buah kelapa sawit dengan menggunakan dron itu secara tidak langsung mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga buruh asing.

“Sebenarnya pertanian digital ini merangkumi semua jenis pertanian, tetapi kami mahu memberi tumpuan kepada ladang kelapa sawit dahulu kerana impaknya yang tinggi dan besar kepada negara.

“Mereka (pengusaha) ada masalah kekurangan tenaga kerja, masalah tidak boleh mengumpul hasil kelapa sawit dalam masa yang pendek dan mutu yang tidak begitu jitu. Jadi, penggunaan dron ini diharap mampu mengurangkan kekangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di ruang pameran Kambyan Network sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) di sini, hari ini.

Tambah Sudhir, sebanyak 50 unit dron akan dihasilkan dalam tempoh dua tahun yang mampu menampung kerja-kerja pemotongan di ladang kelapa sawit berkeluasan 2,000 hektar. - UTUSAN ONLINE