Setiap kali jet pejuang buatan India itu berlepas, lagu Hindi popular, Jai Ho berkumandang di pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini sekali gus mengajak pengunjung mengikut rentak lagu tersebut.

Tejas yang mengambil masa kira-kira 20 tahun melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dihasilkan sepenuhnya oleh jurutera dari negara itu kecuali bahagian enjinnya yang menggunakan kepakaran General Electric (GE) Aviation.

Ketua Pengurus Hindustan Aeronautics Limited (HAL), Prikshat Sharma berkata, pesawat supersonik itu dihasilkan bagi menggantikan pesawat MiG-29 selepas kerajaan India menyedari keperluan negara itu mempertingkatkan pertahanan udara mereka.

“Kumpulan jurutera dan penyelidik menggunakan aspek asas dalam pesawat tempur lain bagi menghasilkan Tejas, sebelum pesawat pertama yang beroperasi sepenuhnya itu diserahkan kepada Tentera Udara India (IAF) pada 2016.

“Setakat ini kita sudah menyerahkan 12 buah Tejas untuk kegunaan IAF dengan demonstrasi pertama dipersembahkan kepada umum pada 2001. Tejas adalah perkataan Sanskrit yang membawa maksud ‘bahang’,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pesawat satu tempat duduk dan satu enjin yang mampu mencapai kelajuan maksimum 2,205 kilometer sejam (km/h) itu menggunakan sistem fly-by-wire (FBW) dan pernah menjalani proses pengisian bahan api di udara.

Sementara itu, Komander Skuadron 45 IAF, Wing Commander Vivek Sharma yang turut berpengalaman membawa MiG-29 berkata, Tejas tidak direka hanya untuk kegunaan India, namun pesawat itu sesuai digunakan untuk kesemua negara.

“Tejas adalah pesawat tempur ringan yang sangat ‘cantik’ dan tidak banyak berbeza dengan jet pejuang lain namun ada ciri-ciri istimewa padanya kerana ia adalah ‘mesin perang’ berbanding pesawat seangkatannya yang lebih untuk kegunaan latihan,” katanya.

 

Dalam penyertaan LIMA ‘19, HAL dan IAF menampilkan dua buah pesawat Tejas untuk menyertai pertunjukan udara selama lima hari itu yang secara tidak langsung mempamerkan kejayaan India membangunkan aset pertahanan sendiri.

“Tejas bertolak dari Pangkalan Udara Kalaikunda pada 22 Mac lepas melalui Yangon, Myanmar untuk ke Langkawi bagi menyertai LIMA ‘19. Kami dibantu sebuah pesawat pengangkut C-130J Super Hercules dan IL-76,” kata Vivek lagi. - UTUSAN ONLINE