Pementasan yang berkisar tentang perjuangan, ketabahan dan pengorbanan seorang raja yang tinggi ilmunya serta bijak memerintah Selangor ini bukanlah rekaan tetapi telah tersurat dalam lipatan sejarah kesultanan Melayu Selangor. Raja Lumu atau Sultan Salehuddin Shah Ibni Almahrum Opu Daeng Chelak ditabalkan oleh Sultan Perak sebagai Sultan Pertama negeri Selangor apabila Selangor tidak diperintah oleh mana2 pihak selepas kemangkatan Opu Chendera Burong Raja Siti (Yamtuan Besar Selangor Kedua).

Yang menariknya, pementasan ini bukan sebuah pementasan yang sekadar memberikan hiburan kepada penontonnya malah lebih utama ilmu sejarah yang mungkin selama ini tidak diambil peduli oleh sesiapa. Hal ini dizahirkan sendiri oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor yang menjadi rujukan utama dalam penghasilan skrip garapan Mior Sharul Nizal Mior Ismail. 

Dalam pengkisahan pengisytiharaan Raja Lumu, berlaku konflik kebimbangan penjajahan kawasan antara pemerintahan Sri Menanti. Salah seorang Pembesar Berempat Selangor iaitu Dato' Ungku Klang, semasa cadangan menabalkan Raja Lumu sebagai pengganti Sultan Selangor oleh Daeng Chelak, beliau menolak cadangan tersebut dan beranggapan Raja Lumu bukanlah dari keturunan Raja berdaulat dan merasakan Daeng Chelak merupakan individu terbaik menggantikan Raja Siti.

Walau bagaimanapun, semasa pertabalan Raja Lumu di Perak, baginda telah berjaya melalui ujian sebagai seorang keturunan raja yang berdaulat. Setelah itu, Dato' Engku Klang akur dan bersumpah menumpahkan taat setia dan menyerahkan kawasan jajahannya kepada Raja Lumu, namun perkara ini tidak disenangi oleh adinda-adindanya iaitu Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Menteri Akhir Zaman Jelebu, dan Datuk Penghulu Johol yang gusar akan keruntuhan kerajaan Sri Menanti ke tangan kaum Bugis yang dipimpin Raja Lumu. 

Berlakulah konflik antara kerajaan Selangor dengan Sri Menanti yang menyebabkan campur tangan Raja Lumu yang dalam titah pertamanya sebagai Sultan Selangor yang sentiasa inginkan keharmonian, kedamaian dan bersama-sama memacu kegemilangan Selangor. Perbalahan Selangor dan Sri Menanti tampak berpenghujung apabila kebijaksanaan Raja Lumu berjaya menenangkan konflik tersebut. 

Kehadiran adinda Raja Lumu, Raja Haji yang mengingatkan kembali tentang kegagalan Sultan Kedah yang tidak mengotakan janjinya untuk membayar upah berjumlah 15 bahara ringgit kepada Selangor kerana membantu Sultan Muhammad Jiwa II menaiki takhta Kedah mewujudkan konflik lain yang harus ditangani dengan cermat dan bijak oleh Raja Lumu. Lantaran itu, Raja Lumu bertitah untuk menyediakan armada ke Kedah dengan segera dan diketuai oleh Raja Haji. Sementelah itu, Raja Lumu singgah di Perak untuk bertemu dengan Sultan Perak dan sebagai mengukuhkan lagi hubungan dua negeri, Sultan Perak berkenan mengahwinkan Raja Lumu dengan puteri perak anak saudara Sultan Perak ketika itu.

Usai pernikahan diraja yang menyaksikan dua buah negeri mengukuhkan kedaulatan masing-masing. Raja Lumu menerima berita kegagalan dan kebuntuan usaha Raja Haji menuntut hutang daripada Raja Kedah maka Raja Lumu meneruskan hasrat utama untuk bertemu dengan Sultan Kedah bagi membincangkan perihal hutang yang sehingga pada waktu itu belum langsai pembayarannya. Kesungguhan Raja Lumu menyelesaikan masalah ini bukanlah kerana tamakan harta atau ingin menunjukkan kekuasaannya, tetapi lebih kepada untuk menasihati Sultan Kedah agar lebih bertanggungjawab dan menghormati janji yang telah dinyatakan.

Bagi penulis, pementasan bangsawan ini cukup baik dan bagus dalam pembelajaran dan pengajaran murid di luar bilik darjah. Sambil berlakon secara tidak langsung mereka dapat memahami perjalanan sesebuah sejarah itu dengan teratur dan tepat. Hal ini kerana, setiap watak perlu difahami peranan dan perlakuan watak masing-masing dan secara tidak langsung memberi pendedahan kepada murid tentang isu yang dinyatakan selain fakta perjalanan peristiwa itu. 

Bayangkan jika di dalam bilik darjah, untuk mereka menghafal perjalanan peristiwa yang perlu diingati watak, tarikh dan keadaan yang berlaku memerlukan pembacaan dan ketelitian yang menyeluruh. Namun, melalui teater, sambil mereka menghafal dialog, mereka juga telah berjaya mengingati sejarah itu dengan tepat dan benar. 

Kesungguhan dan keterbukaan guru besar serta ibu bapa Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 2 dalam bersama-sama menjayakan pementasan ini perlu diberikan pujian kerana berjaya membuka mata dan minda pelajar-pelajar yang terlibat untuk mencintai bukan sahaja sejarah malah bahasa Melayu terutama sastera tradisional. Hal ini kerana, dialog-dialog yang dilontarkan kebanyakkannya mengandungi peribahasa, pantun selain gurindam dan sajak yang sememangnya agak kurang mendapat perhatian kepada golongan remaja ketika ini. - UTUSAN ONLINE