Penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, langkah itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu bagi membolehkan peserta di bawah Pertubuhan Wanita Dinamis Felcra (Wadira) menghantar anak masing-masing ke taska tersebut. 

“Saya difahamkan ahli-ahli Wadira giat menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan bagi meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing, tetapi saya ingin mengingatkan supaya tidak lupa terhadap tanggungjawab memastikan pembangunan anak-anak khususnya di awal usia.

“Apabila taska Permata ditubuhkan di tempat kerja, saya ya­kin tenaga kerja wanita dapat dioptimumkan selain produktiviti mereka boleh meningkat kerana mengetahui anak masing-masing dalam jagaan yang baik. Dalam hal ini, Permata bersedia memberi bekerjasama dengan Felcra dan Wadira,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Perdana Wadira di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Zulkarnain Md. Eusope dan Ketua Pengarah Seranta Felcra, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris. 

Dalam majlis tersebut, Rosmah turut diangkat sebagai Ikon Inspirasi Wadira Felcra atas sumbangannya dalam pembangunan sosio ekonomi wanita dan kanak-kanak.

Sejak ditubuhkan pada 1979, Wadira kini mempunyai 17,562 ahli dengan 83 cawangan di seluruh negara. 

Dalam ucapan yang sama, Rosmah turut menggesa warga Felcra menolak segala dakyah pembangkang yang sengaja cuba memburuk-burukkan kepemim­pinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata beliau, adalah lebih baik peserta-peserta Felcra di seluruh negara menumpukan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Jangan dengar cakap mereka yang merepek, kalau mereka cakap bukan-bukan, kita tutup telinga. Kalau mereka cakap dekat kawan kita, kita suruh mereka tutup telinga. Percayalah pada kebolehan BN dalam memerintah negara,” katanya.