Pengerusi Program Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Hazman Samsudin berkata, tindakan itu juga mampu menjana pendapatan penduduk sekitar menerusi aktiviti eko-pelancongan.

Beliau berkata, pelan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo wujud sejak 2011, namun belum direalisasikan sehingga kini.

“Pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo akan menarik minat pelabur asing selain membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk.

“Berdasarkan kajian demografi yang dijalankan oleh UMT terhadap komuniti Tasik Kenyir, golongan belia semakin berhijrah ke kawasan bandar bagi mencari peluang ekonomi yang lebih baik dan ini memberi kesan negatif terhadap pembangunan sosio-ekonomi setempat,” katanya selepas tinjauan di Gua Bewah, Tasik Kenyir, di sini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak melibatkan pewartaan.

“Ini tidak melibatkan pewartaan. Berbeza dengan Warisan Dunia yang melibatkan pewartaan, perniagaan akan berjalan seperti biasa. Maknanya kalau ada kita ada kuari di sana, tempat membalak teruskan membalak. Tapi janganlah membalak di kawasan yang dikenal pasti ada sejarahnya seperti Gua Bewah ini.

“Ini kita dah kenal pasti sebagai tapak warisan Gua Bewah, ada ‘Bewah Man dan sebagainya, jadi janganlah membalak. Tapi kawasan lain nak membalak...membalaklah”, katanya.

Sehubungan itu, Hazman berharap agar cadangan itu dapat diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri terutama dalam memastikan kelangsungan sumber warisan dan peningkatan industri pelancongan.

Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan 209,199 hektar merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi habitat kepada ribuan spesis flora dan fauna.

Ia juga merupakan lokasi dimana fosil dinosaur ditemukan selain penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai ‘Bewah Man’ - yang berusia 16,000 tahun.- BERNAMA