Menurut UPM, persembahan tarian itu diadakan semasa Majlis Konvokesyen Pensijilan Kemahiran Malaysia anjuran Iwem yang berlangsung pada 4 Julai lalu dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Jelas UPM, dewan tersebut telah disewa oleh Iwem, dan kelulusan diberikan UPM adalah berdasarkan permohonan untuk mengadakan majlis konvokesyen kepada peserta yang tamat menjalani latihan di pusat yang bernaung di bawah persatuan itu untuk Pensijilan Kemahiran Malaysia di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

“Semua acara dan persembahan adalah di bawah tanggungjawab Iwem. UPM tidak terlibat sama sekali untuk semua program yang disediakan oleh pihak penganjur. Malah persembahan tarian tersebut juga tidak dimaklumkan kepada pihak universiti.

“Sekiranya sesuatu majlis dianjurkan oleh UPM, universiti sentiasa memastikan majlis dianjurkan mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan garis panduan majlis yang telah ditetapkan UPM,” menurut universiti itu dalam kenyataan hari ini.

UPM menjelaskan, universiti itu mendapat makluman bahawa Iwem telah mengemukakan surat permohonan maaf kepada Kementerian Sumber Manusia dan juga pejabat Menteri Pembangunan Usahawan atas isu berkenaan, dan mengemukakan permohonan maaf kepada awam melalui kenyataan media.

“Kami masih menunggu permohonan maaf secara rasmi daripada pihak Iwem,” menurut UPM.

Video tarian tersebut tular dalam media sosial sehingga ada warga maya menganggap persembahan itu seolah-olah menggambarkan kebebasan di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini timbul juga isu seakan sama mengenai kontroversi pertandingan tarian yang menampilkan peserta persembahan memakai pakaian menjolok mata di sebuah hotel di Ipoh, Perak pada minggu lalu yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan.-UTUSAN ONLINE