Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Noor Effandi Ahmad berkata, perubahan status pinjaman itu membolehkan pelajar yang menuntut di luar negara iaitu di Indonesia, Mesir, Jordan dan Maghribi mendapat biasiswa mengikut syarat-syarat ditetapkan.

Katanya, pembaharuan program di bawah Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) itu turut menyediakan beberapa pembaharuan lain bagi meningkatkan kemudahan dan membantu golongan pelajar negeri ini, sejak awal Januari lalu.

Antara pembaharuan lain beliau berkata, adalah peruntukan sebanyak RM60,000 untuk kelas motivasi pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Selain itu, Tapem juga memperluaskan pemberian biasiswa Melaka yang sebelum ini hanya diberikan kepada pelajat tingkatan satu hingga lima kepada pelajar tingkatan enam.

“Pelajar ini bakal menerima bantuan biasiswa sebanyak RM50 sebulan atau RM600 setahun dan kemudahan ini hanya kepada pelajar luar asrama bagi membantu meringankan beban keluarga mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi rehat Persidangan Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas) sebelum itu menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Wong Fort Pin (DAP-Bemban) tentang langkah dan pembaharuan diambil oleh kerajaan negeri bagi memajukan sistem pendidikan negeri menerusi Tapem.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pelajar-pelajar yang memperoleh pinjaman Tapem untuk datang ke agensi itu bagi berbincang berkenaan penjadualan semula pembayaran pinjaman.

Katanya, Tapem tidak akan bertindak agresif kepada peminjam yang masih mempunyai tunggakan hutang malah mengamalkan dasar buka pintu untuk memudahkan pembayaran semula pinjaman dapat dilaksanakan dengan baik. - UTUSAN ONLINE