Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, air larut resap yang bertakung di dalam sel tapak pelupusan tersebut akan dipindahkan ke Tapak Pelupusan Seelong bermula esok, untuk dirawat.

“Kementerian juga telah mengarahkan operator untuk menempatkan tiga Mobile Leachate Treatment Plant (MLTP) di tapak berkenaan bagi meningkatkan kapasiti rawatan air larut resap.

“Sisa pepejal dari tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam dan Majlis Perbandaran Batu Pahat pula akan dihantar ke Tapak Pelupusan Seelong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zuraida berkata, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mantek akan mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi bersama agensi berkaitan bagi mengenalpasti kesan air larut resap kepada sungai berdekatan.

Antara agensi terlibat adalah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Jabatan Alam Sekitar, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Badan Kawal Selia Air Johor serta Syarikat Air Johor.

Tapak Pelupusan Ladang CEP 1 yang mempunyai keluasan enam hektar mula beroperasi pada 2003 dibawah seliaan Majlis Daerah Simpang Renggam secara pelupusan terbuka.

Kerajaan kemudiannya mengambil alih operasi tapak tersebut pada April 2017 dan menaik taraf kepada jenis pelupusan sanitari termasuk penambahan sel baharu.

“Tapak ini menerima anggaran sebanyak 500 tan sisa pepejal sehari daripada tiga PBT iaitu Kluang, Simpang Renggam dan Batu Pahat.

“Dengan tindakan segera ini, diharapkan isu limpahan air larut resap dari tapak pelupusan Ladang CEP 1 dapat diatasi segera,” katanya. - UTUSAN ONLINE