Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan itu hanya akan dilaksanakan selepas kejayaan program kerjasama anjuran Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang menyediakan laluan pengajian tinggi kepada lepasan institut latihan kemahiran.

Kata beliau, lokasi tanah milik kerajaan seluas kira-kira 24 hektar di Tanjung Malim dikenal pasti sesuai untuk dimajukan sebagai bandar pintar TVET namun perkara itu masih belum diperbincangkan.

Beliau berkata, MTUN dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran kementerian kini menawarkan 10 program Sarjana Muda Teknologi (BTech) bermula September ini bagi pengajian selama tiga tahun.

“Saya mengimpikan kita mempunyai sebuah bandar pintar lengkap dengan kemudahan universiti serta perancangan-perancangan lain bagi menempatkan kumpulan cerdik pandai dalam bidang inovasi.

“Kita berharap selepas program MTUN ini berjaya, kerajaan akan membuat keputusan itu (Bandar TVET) selepas mendapat hasil iaitu lepasan BTech dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Naib Canselor Utem, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim; Pengerusi Lembaga Pengarah Utem, Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Ladin dan Timbalan Ketua Pengarah JPK, Suimi Abdul Majid.

Mahfuz ketika berucap pada Persidangan TVET di Putrajaya baru-baru ini berkata, Bandar Integrasi TVET menjadi pusat sehenti kepada kawal selia dan tadbir urus sekali gus berfungsi sebagai peneraju TVET negara.

Tawaran 10 program Btech di empat buah universiti iaitu Utem, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan memberi nafas baharu kepada pemegang sijil Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. - UTUSAN ONLINE