Titah itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini, melalui surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya dan juga Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad.

Dalam surat itu, Sultan Sharafuddin bertitah agar operasi bagi menanggalkan semua papan tanda jalan berbahasa Cina tersebut dibuat segera dan mesti diselesaikan sebelum 11 Disember, iaitu tarikh ulang tahun keputeraan baginda.

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH 

“Sultan Selangor telah menitahkan supaya semua papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

“Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh kepute­raan Sultan Selangor iaitu pada 11 Disember,” menurut surat yang ditandatangani Mohamad Munir itu.

Isu mengenai papan tanda jalan berbahasa Cina di Shah Alam mula panas apabila gambar papan tanda tersebut dimuat naik penduduk Shah Alam dalam laman media sosial menyebabkan orang ramai mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dan mempertikai kewajarannya.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad yang kesal dengan perkara itu berkata, keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menukar papan tanda jalan kepada bahasa Cina yang asalnya tulisan jawi adalah amat mendukacitakan.

Walau bagaimanapun, MBSA dalam kenyataannya memberi alasan penggunaan papan tanda jalan dwibahasa itu telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Se­langor pada 13 Oktober 2017.