Yang Dipertua PUM, Datuk Al Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, tindakan-tindakan proaktif boleh diambil dengan menggunakan pelbagai peruntukkan undang-undang dan penguatkuasaan yang sedia ada bagi menangani isu ini.

“Peruntukan undang-undang sudah jelas iaitu mereka yang di bawah umur yang ingin berkahwin perlu mendapat kebenaran dari Mahkamah Syariah.

“Begitu juga mereka yang ingin berpoligami juga perlu mendapat kebenaran dari Mahkamah Syariah. Dua peruntukan ini sahaja sudah boleh menghalang dari berlakunya penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai peraih getah, Che Abdul Karim Che Hamid 41, yang mengahwini seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada hari Raya yang keempat lalu sebagai isterinya ketiga, yang mengundang kecaman pelbagai pihak.

Syeikh Abdul Halim berkata, walaupun ada maklumat menyatakan budak perempuan tersebut merupakan warganegara Thailand namun PUM yakin kerajaan Malaysia boleh menggunakan perundangan semasa kedua-dua belah pihak untuk berdepan dengan perkara ini. – UTUSAN ONLINE