ZULHISHAM ISAHAK/pix

PASIR GUDANG 28 Ogos - Akta pencemaran alam sekitar sedia ada perlu dipinda dalam usaha menangani masalah pencemaran di daerah ini secara mapan dan berkesan supaya tidak berulang lagi pada masa depan.

Pakar Kualiti Air dan Pemodelan, Ir. Dr. Zaki Zainudin berkata, pindaan itu penting serta tepat untuk dilakukan terutama melihat keadaan dan perkembangan di Pasir Gudang ketika ini yang merupakan paling teruk pencemarannya di negara ini.

"Masalahnya sekarang ini kita punya akta kualiti alam sekitar (namun) daripada segi pelepasan industri dari kilang, kita kawal daripada segi kepekatan, sedangkan kita tidak mengawal beban pencemarannya (terhadap sungai).

"Sebenarnya kalau kita mahu sungai kekal bersih atau pun tidak tercemar, kita mesti kawal bebannya sebab beban ini mengambil kira saiz sungai dan berapa banyak bahan pencemaran dilepaskan, bukannya kepekatan sahaja.

"Bagi saya perlu ada rombakan (pindaan akta) sebab saya memang sudah banyak kali bercakap kita perlu melihat kepada kawalan beban pencemaran.

Bagi saya pada zaman sekarang, itulah langkah paling mampan sekali untuk dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel dalam Forum Halatuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di Taman Rinting di sini sebentar tadi.

Turut menjadi panel ialah Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Japareng Lalung, Zamil Pelawat Kajian Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) Yusof Ishak, Dr. Serina Abdul Rahman dan Naib Presiden Persatuan Pecinta Alam Sekitar Malaysia (MNS), Vincent Chow Kok Kow.

Dr. Zaki berkata, kaedah kawalan beban pencemaran itu sudah pun dilakukan di banyak negara maju seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea. - UTUSAN ONLINE