Selain tanaman, kubur masyarakat Orang Asli di kampung itu juga dimusnahkan dan ditolak jengkaut sebelum para penduduk menahan pekerja syarikat tersebut supaya menghentikan kerja itu.

Penghulu Kampung Jedip, Nasir Busu, 48, berkata, syarikat terbabit dipercayai mendapat kebenaran kerajaan negeri bagi mengambil kira-kira 269 hektar tanah di kampung itu tanpa berbincang dengan penduduk terlebih dahulu.

Katanya, awal bulan ini keresahan penduduk sampai ke kemuncak apabila mereka beramai-ramai menahan jengkaut yang sedang menyodok kebun.

“Bagaimanapun, pekerja syarikat terbabit memaklumkan menerima kelulusan daripada kerajaan negeri untuk meneroka tanah itu.

“Kami kesal kerana setahu kami tanah itu sudah diluluskan kepada penduduk untuk mengusahakan pelbagai tanaman termasuk ladang getah sejak tahun 2000 lagi. Malah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga sudah melakukan kerja mengukur tanah itu untuk Orang Asli,” katanya di sini hari ini.

Nasir berkata, sumber air tadahan bukit untuk penduduk kampung itu juga musnah sehingga bekalan paip turut putus selepas kerja penerokaan dilakukan.

Katanya, lebih menyedihkan kubur arwah bapanya bersama lima penduduk lain juga hampir kena sodok.

“Saya sudah menghalangnya, tetapi tidak tahu sampai bila dapat mempertahankan kubur bapa daripada terus disodok.

“Selain itu, tanaman buah-buahan seperti durian, rambutan, dokong dan petai disodok tanpa diberi pampasan,” katanya.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng, pula berkata, masalah tanah, air sungai dan hakisan yang berlaku di kawasan Orang Asli sekitar Pos Brooke sudah beberapa kali dilaporkan kepada kerajaan Pas Kelantan sejak bertahun lalu.

Katanya, sehingga sekarang kerajaan Pas Kelantan dilihat bersikap sambil lewa dan belum ada sebarang tindakan untuk memberi pembelaan dan kehidupan Orang Asli semakin tertekan. - UTUSAN ONLINE