Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, masyarakat dapat melihat buat sekian kalinya ketegasan Dr Mahathir dalam isu-isu yang dekat dengan hati umat Islam walaupun mendapat tekanan dan tentangan daripada Pakatan Harapan (PH) sendiri khususnya pimpinan DAP. 

 Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat berkata, keputusan kerajaan itu perlu disokong sepenuhnya oleh umat Islam tanpa mengira fahaman dan parti politik.

 "Kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tun Dr Mahathir kerana ketegasannya. Pelajaran khat adalah usaha untuk memperkasakan tulisan Jawi itu sendiri. Dalam hal ini keputusan Kementerian Pendidikan memperkenal pengajaran khat patut dipuji. 

 "Hari ini tulisan Jawi sudah semakin jauh dari masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khususnya. Keputusan itu adalah tepat dan mesti disokong, bagi umat Islam tulisan Jawi bukan sahaja warisan Melayu dan tradisi bangsa yang mempunyai nilai seni yang tinggi tetapi ia juga adalah syiar agama.

 "al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan ditulis dengan tulisan yang kita panggil Jawi ini malah tulisan Jawi pernah mengangkat martabat orang Melayu dalam bidang keilmuan suatu masa dahulu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa kerajaan kekal dengan keputusan melaksanakan tulisan khat dan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bermula 2020 dan menganggap tentangan diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP.

 Sementara itu, Mohamad Fadzli berkata, kerajaan Pas Kelantan telah lama mewajibkan penggunaan tulisan Jawi dalam beberapa perkara seperti tanda nama premis perniagaan dan papan-papan iklan termasuklah  minit mesyuarat Exco yang juga ditulis dalam tulisan Jawi.

 Mengulas lanjut, kata beliau, sebenarnya amat mudah untuk memahami kenapa terdapat pemimpin DAP menentang pengajaran khat dan Jawi jika melihat kepada pendirian parti itu dalam isu-isu yang berbangkit sebelum ini biarpun sudah menjadi keputusan kerajaan yang mereka sendiri adalah sebahagian daripadanya. 

 "Mereka sudah menjadi terlalu vokal dalam isu yang melibatkan Islam, apa sahaja berkait dengan Islam maka pimpinan DAP terus sahaja memberikan pandangan balas mereka. 

 "Belum lagi reda isu gesaan Lim Kit Siang supaya pendakwah terkenal Islam, Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia, timbul pula penentangan pimpinan DAP terhadap pengajaran khat.

 "Sepatutnya umat Islam tanpa mengira fahaman dan parti politik juga bersatu dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam," katanya yang menyeru seluruh masyarakat  hadir ke program jelajah Zakir ke negeri ini bermula pada 7 Ogos ini sehinggalah ke acara kemuncak pada 9 Ogos atau Jumaat ini di Stadium Sultan Muhammad IV di sini. - UTUSAN ONLINE