Pengarah Operasi Pe­ngelola Jemaah Haji 1440 Hijrah, Mat Admara Alang Azizdin berkata, sebanyak 6,140 jemaah haji Malaysia tahun ini mengambil pakej menunaikan haji daripada 22 syarikat pelancongan swasta bertauliah dari Tabung Haji.

"Setiap jemaah pakej haji swasta hanya akan dikenakan caj RM500 untuk membolehkan mereka dapat menggunakan kemudahan Tabung Haji di Tanah Suci seperti kemudahan klinik, kewangan dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Katanya, kesemua syarikat-syarikat ejen pelancongan yang mendapat kelulusan daripada Tabung Haji, termasuk TH Travel & Services Sdn. Bhd. merupakan pengelola jemaah haji bertauliah dan dianggap sebagai jemaah haji Malaysia yang berada dalam kuota haji rasmi 30,200.

"Jemaah perlu mendapat tawaran mengerjakan haji terlebih dahulu sebelum boleh memilih untuk mengikuti pakej standard muassasah kendalian Tabung Haji atau pakej syarikat swasta," tambahnya.

Mat Admara mene­gaskan, Tabung Haji mempunyai satu jawatankuasa pemantau yang akan memastikan jemaah haji menerima perkhidmatan seper­ti yang dijanjikan oleh syarikat swasta itu.

"Kesemua proses berkaitan urusan haji jemaah akan diteliti, bermula daripada pendaftaran, pengurusan pasport, ke­berangkatan jemaah haji dari tanah air, sepanjang berada di Ta­nah Suci dan sehinggalah mereka pulang," katanya.

Beliau berkata, antara perkhidmatan utama yang dipantau ialah penginapan, makan dan minum, proses pergerakan jemaah dan perkhidmatan kebajikan yang diberikan oleh petugas pengelola jemaah haji ini.

"Jika ada yang tidak mengikut peraturan atau kemudahan seperti diiklankan, amaran akan diberikan sebelum syarikat itu dikenakan denda atau disenaraihitam daripada menjalankan perniagaan urusan haji di tahun depan," tambahnya.

Pakej paling minimum yang ditawarkan oleh pengelola je­ma­ah haji musim ini ialah antara RM24,500 dan RM180,000 bagi seorang jemaah dan tempoh tinggal mereka antara 20 dan 25 hari di Tanah Suci.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Travel, Johari Ismail berkata, sebagai salah satu syarikat yang menawarkan pakej haji bertauliah, syarikatnya sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

Tahun ini, katanya, syarikat itu yang mempunyai 13 tahun pengalaman mengendalikan jemaah haji telah membawa 220 orang jemaah.

Mereka memilih tiga pakej iaitu Premidum, Zahabi dan Ekonomi yang bermula dari harga RM34,000 hingga RM69,000. - UTUSAN ONLINE