Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, semua urus niaga di kaunter Tabung Haji juga berjalan dengan lancar serta berada dalam keadaan terkawal.

“Semua terkawal, saya juga dimaklumkan bahawa cawangan Tabung Haji ada menerima caruman pendeposit baharu. Terima kasih atas keyakinan yang diberikan kepada pengurusan baharu.

“Saya ingin memberi jaminan kepada pendeposit baharu, kita bukan sahaja akan memastikan wang mereka selamat tetapi komited membawa Tabung Haji lebih maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Rakan Masjid Hospital (Ramah) di Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Menurut Mujahid, dengan pengurusan yang lebih baik, kerajaan yakin dapat menjana pendapatan dengan lebih mampan bagi mengoptimumkan pulangan pendeposit Tabung Haji.

“Pihak pengurusan Tabung Haji yang baharu dengan sokongan kerajaan berada di landasan yang tepat selepas penstrukturan dilakukan, Sebelum ini, institusi itu ditinggakan dengan masalah.

“Masalah Tabung Haji sebelum ini sudah lama berlaku sehinggakan Bank Negara Malaysia (BNM) juga pernah memberi amaran berhubung prestasi kewangan institusi itu,” katanya.

Namun katanya, kerajaan terdahulu tidak mempedulikan amaran tersebut dan terus membenarkan Tabung Haji membayar hibah yang tinggi walaupun berdepan risiko kestabilan kewangan.

Selain itu katanya, kerajaan baharu komited memulihkan Tabung Haji termasuk dengan memberi suntikan dana sebanyak RM17.8 bilion dan permulaan RM500 juta pada tahun hadapan dan RM1.73 setahun mulai 2021.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata, pihakny sedang menilai mekanisme baharu untuk menurunkan tempoh menunggu menunaikan haji yang ketika ini mengambil masa yang lama.-UTUSAN ONLINE

HABIS