Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman berkata, kempen kebersihan jemaah Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina tahun lepas mencatat kejayaan membanggakan hingga mendapat pujian kerajaan Arab Saudi.

"Selepas kempen itu dijalankan, kami menunjukkan kepada Timbalan Menteri Haji gambar-gambar sebelum dan selepas jemaah haji Malaysia tinggal di Masyair, dia begitu kagum kerana kebersihannya dan menyampaikan perkara tersebut kepada Menterinya," katanya.

Beliau berkata, Menteri Haji itu kemudiannya turut memuji tindakan jemaah Malaysia dan berharap ia menjadi contoh dan teladan kepada jemaah-jemaah lain ketika mengerjakan ibadat haji.

Syed Saleh berkata, kejayaan kempen itu seterusnya memberi idea untuk Tabung Haji meneruskan kempen kebersihan di tempat kediaman jemaah di Mekah pula tahun ini.

"Pada setiap Rabu, semua jemaah akan bergotong-royong membersihkan bilik mereka, surau, tempat makan, tangga dan sebagainya di Maktab masing-masing," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kempen itu di sini, semalam.

Katanya, konsep kebersihan dengan ibadat haji sangat rapat kerana melalui kebersihan, ia mampu memberikan kesihatan kepada jemaah yang sangat memerlukannya untuk beribadat menjelang kemuncak haji di Hari Arafah.

Beliau berkata, kempen itu berdasarkan konsep 'RAHMAH' iaitu R mewakili huruf Ramah, A = Aman/Selesa, H = Harmoni, M = Mesra Alam, A = Alami/Universal dan H = Hormat.

Katanya, jemaah yang menyertai program itu sudah tentu akan menjadi bertambah mesra dan saling hormat menghormati antara satu sama lain apabila dapat tinggal di tempat yang bersih dan selesa.

"Daripada respons pelancaran hari ini, dapat dilihat jemaah begitu teruja untuk menyertai program tersebut kerana ia akan memberi banyak faedah kepada mereka sendiri, selain dapat meningkatkan imej Malaysia dan jemaah," tambahnya.

Menurut jemaah Mohd Alimullah Ishak dari Bangi, Selangor, kempen seumpama itu sudah tentu disambut baik oleh jemaah kerana memberi keselesaan untuk mereka tinggal dan beribadat sementara menanti Hari Wukuf. - UTUSAN ONLINE