Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan yang diraih itu sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan prasekolah itu gagal menyediakan pendidikan awal kanak-kanak seperti tadika swasta.

Katanya, Tadika KEMAS merupakan antara tiga prasekolah yang dicalonkan untuk anugerah itu bagi kategori pendidikan awal kanak-kanak termasuk dua tadika swasta.

“Kaedah pemilihan ini dilaksanakan melalui undian atas talian yang dijalankan oleh pihak Reader's Digest kepada hampir 8,000 orang responden mengenai pandangan mereka terhadap sistem pendidikan prasekolah di negara ini.

“Kriteria pemilihan soalan-soalan yang dibuat berkait rapat budaya amanah, inovasi, mutu dan tanggungjawab sosial kepada kehendak pengguna iaitu diambil kira dalam pengiktirafan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Bicara Komuniti Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Dialog TN50: Transformasi Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pengiktirafan berkenaan merupakan hasil usaha warga pendidik Tabika Kemas yang sentiasa berusaha gigih untuk melahirkan modal insan yang unggul dan berkualiti tinggi.

Beliau menjelaskan, sejajar hasrat pihak kementerian menjadikan tabika Kemas sebagai pilihan utama ibu bapa, pihaknya sentiasa mengambil berat soal kualiti ke arah memberi sumbangan kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak negara.

Jelasnya, walaupun Tabika KEMAS mengenakan yuran bulanan serendah RM10 berbanding tadika swasta yang mencecah ratusan ringgit sebulan, tetapi prasekolah itu berupaya menganjurkan program pendidikan awal kanak-kanak bermutu tinggi.

“Kejayaan ini juga hasil daripada pelbagai inisiatif pelaksa­naan Transformasi Tabika KEMAS yang dilancarkan pada tahun lalu me­lalui tiga modul utama.

“Tiga modul tersebut adalah program penghayatan Pendidikan Islam, pemupukan semangat patriotik dan keyakinan diri,” katanya.