Perkara tersebut dimaklumkan oleh anak didik Zakir, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu kepada Utusan Malaysia di sini sambil memaklumkan mereka telah menerima layanan yang cukup baik daripada Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu.

Katanya, pertemuan santai kira-kira dua jam itu adalah bagi mengeratkan hubungan sesama Islam meskipun pernah berlainan pendapat.

Jelas beliau, kedua-dua individu tersebut juga saling bertukar-tukar pandangan selain Zakir turut memberi penjelasan mengenai salah faham yang berlaku sebelum ini.

"Saya hendak ucapkan terima kasih kepada Syed Saddiq yang memberi layanan baik. Bagi saya, Syed Saddiq seorang menteri yang baik dan merendah diri.

"Segala salah faham sebelum ini dalam isu Zakir sudah diselesaikan dengan baik malah mereka (Zakir dan Syed Saddiq) juga saling bertukar-tukar pandangan demi kepentingan Islam," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, bahawa beliau

tetap dengan pendiriannya bahawa Zakir tidak akan dihantar pulang ke India.

Awal bulan lalu, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah bebas itu sekiranya beliau tidak membuat sebarang masalah.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Zakir juga tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.- UTUSAN ONLINE