Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, sehingga kini, Syed Saddiq masih mengambil pendekatan mengunci mulut meskipun mendapat kritikan pelbagai pihak mengenai lantikan politik itu.

Katanya, ketika anak muda sedang bergelut mencari pekerjaaan, Syed Saddiq dengan mudahnya memilih rakan-rakan selain tidak melalui proses temuduga bagi mengisi jawatan itu.

"Saya minta Syed Saddiq segera memberi penjelasan dalam isu tersebut (lantikan politik). Ramai yang ternanti-nanti kenyataan Syed Saddiq dalam isu ini.

"Jika dahulu Syed Saddiq pernah menegaskan tidak mahu 'macai' politik dalam organisasi belia, adakah mereka (13 ahli Armada) ini sebenarnya yang dimaksudkan sebagai 'macai' politik itu. Jangan terus mengkhianati rakyat ketika masih ramai terutama anak muda yang memerlukan pekerjaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Mohd Fairos Rusli di laman Facebooknya mendedahkan sekeping surat dari Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pelantikan 13 orang Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan KBS negeri yang kesemuanya terdiri daripada ahli Armada.

Dalam surat tersebut, yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN, Abdul Rashid Yaakub turut memaklumkan bahawa Menteri Belia dan Sukan telah bersetuju dengan pelantikan tersebut.

Selain itu, di media-media sosial, netizen terus mengecam lantikan tersebut selain difahamkan 10 daripada 13 ahli Armada yang dilantik mengisi jawatan itu sudah tidak lagi mengaktifkan akaun Facebook mereka setelah teruk dikecam.

Sementara itu, Noor Hairi menggesa agar Syed Saddiq memberi peluang kepada mereka yang benar-benar layak dalam kalangan anak muda melalui sesi temuduga bagi mengisi jawatan itu.- UTUSAN ONLINE