Sambil melahirkan rasa kesal dengan laporan itu yang disifatkan tidak tepat, Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, sehingga kini pihaknya tidak pernah mengambil mana-mana tanah petani untuk dicagarkan atau menerima wang daripada mana-mana pihak yang berminat dengan projek pertanian tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut, kata beliau, projek itu di bawah syarikat berkenaan juga hanya bermula dua tahun lalu, bukannya sejak tujuh lalu seperti dilaporkan.

Malah, ujarnya, petani yang berminat untuk memulakan tanaman guarana di tanah masing-masing juga hanya terlibat secara langsung dengan syarikat berkenaan pada Februari lalu.

Tambah beliau, syarikat itu juga tidak pernah menawarkan biji benih percuma kepada para petani melalui pembukaan tanah bagi penanaman guarana sebaliknya memberi pilihan tananam guarana kepada pekebun getah dan kelapa sawit sebagai tanaman alternatif.

“Untuk makluman, kita memperkenalkan tanaman guarana dengan perjanjian pembelian balik buah guarana dengan harga RM80 perkilogram manakala daun guarana pula dengan harga belian semula RM30 perkilogram.

“Perjanjian pembelian adalah disediakan oleh firma guaman yang di lantik secara rasmi oleh syarikat kami iaitu Gibb & Co.

“Maklumat pembelian semula termasuk perjanjian pembelian secara sah telah dimaklumkan secara rasmi kepada semua pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan dengan sekor pertanian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai kebimbangan ratusan petani yang dipercayai menjadi mangsa penipuan individu yang bergelar ‘Datuk’ menerusi tawaran membangunkan projek tanaman guarana.

buah brazil
ZAKWANHAFIZ

Menurut Zakwanhafiz, sebagai satu-satunya syarikat yang terlibat dalam projek tanaman itu di negara ini, laporan Utusan Malaysia terbabit secara jelas ditujukan kepada syarikat berkenaan.

Akibatnya, kata beliau, para petani dan pelabur yang sebelum ini menunjukkan minat untuk terlibat dengan projek itu kini mula berasa curiga dan bimbang serta menuntut penjelasannya sekali gus menjejaskan reputasi syarikatnya.

Menyentuh mengenai larangan import tanaman itu oleh Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian, Zakwanhafiz berkata, pihaknya pada 8 Mei lalu sudah mengadakan sesi taklimat di Putrajaya yang turut dihadiri Timbalan Pengarah jabatan berkenaan Datin Jatil Aliah Timin.

Katanya, dalam taklimat itu, kesemua pihak telah bersetuju untuk menunggu beberapa dokumen daripada pihak berkuasa Brazil berkenaan dengan sijil-sijil penghapusan jangkitan penyakit tumbuhan yang boleh disebabkan oleh benih guarana tersebut.

Selain itu, katanya, pihaknya juga sedang menyediakan beberapa dokumen berkaitan lain untuk diserahkan kepada Jabatan Biosekuriti Tumbuhan untuk diproses bagi mendapatkan permit berkenaan.

“Memandangkan proses ini melibatkan beberapa peringkat, jadi ia mengambil sedikit masa.

“Namun kita menjangkakan proses kelulusan dan kebenaran ini dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira sebulan atau dua bulan dari sekarang memandangkan kita menggunakan saluran yang betul dan tepat,” katanya. - UTUSAN ONLINE