Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan Danial Mah Abdullah berkata pengurusan risiko merupakan satu bentuk jaminan kendiri yang semakin meningkat memandangkan keberkesanan kos keseluruhan serta kaedah pengurangan risiko boleh disesuaikan.

“Kami mendapati permintaan terhadap insurans kaptif semakin bertambah di rantau ini, termasuk Malaysia, dan ia dijangkakan meningkat kerana peranan terkini pengurusan risiko dan perkembangan landskap korporat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata memandangkan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan menjadi satu-satunya di dunia yang menawarkan alternatif patuh syariah menerusi takaful kaptif, ia berkelebihan untuk menarik minat dari banyak negara di Asia.

“Dari segi premium bertulis kasar, perniagaan insurans kaptif Labuan meningkat 12.8 peratus kepada US$288 juta pada Jun tahun ini daripada US$255 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2018,” katanya.

Danial Mah berkata kebanyakan premium itu adalah dari Asia, khususnya Indonesia dan Jepun, yang turut mendorong kepada peningkatan kesedaran mengenai manfaat kaptif.

“Ini telah menambahkan minat syarikat multinasional dan firma bersaiz sederhana yang mencari kesesuaian dalam menguruskan risiko mereka selain memahami peranan syarikat penajaan jamin khas bagi penyelesaian pengurusan mereka,” katanya. - BERNAMA