Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, bantuan termasuk menyediakan infrastruktur pembelajaran dan pengajaran di dalam dan luar bilik darjah melalui penggunaan teknologi terkini seperti platform e-Learning.

Beliau berkata, pihak kementerian sedia memberi kerjasama kepada semua pihak yang berminat untuk menyumbang bagi mencapai hasrat menyediakan pendidikan berkualiti.

“Kita menggalakkan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang berminat untuk membantu pendidikan, memperbanyakkan bahan-bahan pendidikan melalui media terbitan, arus perdana dan dalam talian seperti di YouTube.

“Kita perlu, contoh, siri pendidikan berbentuk santai tetapi mendidik anak-anak demi memastikan anak-anak kita disajikan dengan bahan-bahan berkualiti di dalam pendidikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara pihak kementerian dengan Pintar Foundation (Pintar) hari ini.

Maszlee sehubungan itu menyeru agar lebih banyak pihak korporat melibatkan diri dalam program seperti digerakkan oleh Pintar untuk membantu sekolah-sekolah di kawasan pendalaman , luar bandar dan sekolah-sekolah di kawasan bandar yang memberikan pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah dan golongan kurang upaya.

“Kita mengharapkan semua anggota masyarakat dan pihak swasta dapat menghayati falsafah pendidikan untuk semua dan pendidikan merupakan tanggungjawab semua,” tambahnya.

Dalam pada itu, mengenai Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), beliau bekata, mesyuarat Kabinet semalam tidak membincangkan perkara berkenaan, sebaliknya menyentuh soal kualiti bahasa Inggeris dalam kalangan guru-guru yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelasnya, Pedana Menteri turut menekankan keperluan penggunaan teknologi dan platform e-Learning untuk membantu guru-guru meningkatkan kualiti pembelajaran seterusnya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeri dalam kalangan pelajar.

“Perdana Menteri tekankan perlu kita menggunakan teknologi dan platform e-Learning untuk bantu guru-guru tingkat penguasaan dan pengajaran bahasa Inggeris, dan membantu anak-anak kita tingkat penguasaan bahasa Inggeris mereka,” jelasnya.

Sejak penubuhannya pada 2008, Pintar dan lebih 52 ahli serta rakan kongsinya telah melaksanakan lebih 300 aktiviti setiap tahun di lebih 500 sekolah angkat yang memberi mandapat kepada kira-kira 892,000 pelajar dan 18,000 orang guru di seluruh negara.

Mou hari ini bertujuan memudahkan proses pelaksanaan Program Pintar bertujuan memupuk kecemerlangan akademik dan bukan akademik pelajar melalui kerjasama dengan syarikat korporat dan membantu sekolah angkat Pintar melahirkan pelajar dan sekolah cemerlang.

Dalam majlis itu, kementerian diwakili Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Datuk Sulaiman Wak dan Pintar diwakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Tan Sri Arshad Ayub. Turut hadir menyaksikan majlis MoU itu ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pintar yang juga penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin. - UTUSAN ONLINE