Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, Rosnani Hasan, 47, yang merupakan penumpang hadapan Perodua Viva maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Pemandu Perodua Viva yang juga suaminya, Imran Rosli, 44, cedera di kepala manakala dua anak mereka, Iman Idzly, 8, patah kaki dan Iman Idzham, 12, cedera ringan.

Pemandu Toyota Vios, Nurin Imanina, 22, pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripasa Toyota Vios yang tiba di tempat kejadian sedang memotong kenderaan di hadapannya.

"Ketika sedang memotong, datang Perodua Viva yang tidak sempat membrek lalu melanggar Toyota Vios di laluan menghala arah Kuantan.

"Penumpang hadapan Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa lain telah dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut," katanya di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus, dua lorong dua hala iaitu satu lorong menghala ke Kuantan dan satu lorong ke Segamat.

"Sewaktu kejadian, keadaan gelap tidak berlampu berlampu dan cuaca baik," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE