Pegawai Sains Planetarium Negara, Mohd. Zamri Shah Mastur berkata, fenomena itu merupakan 'Supermoon' terbesar yang berada pada jarak paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun lalu.

Beliau berkata, fenomena tersebut berlaku pada pukul 7.24 malam dan seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada 9.54 malam.

“Walaupun dilindungi awan, 'Supermoon' di KLIA2 dapat dilihat dengan jarak 380,000km, peluang ini jarang diperolehi dan akan mengambil masa yang lama untuk berulang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu kira-kira 100 pengunjung di KLIA2 tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena ini dengan jarak lebih dekat menggunakan teleskop yang disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Turut hadir menyaksikan fenomena tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Mohd. Azhar Yahaya.

Keadaan bulan di kedudukan paling hampir dengan bumi ketika fasa purnama menyebabkan bulan kelihatan seolah-olah lebih besar daripada keadaan biasa. Bagaimanapun, saiz fizikal bulan sebenarnya tidak berubah sama sekali. - UTUSAN ONLINE