Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin Idris berkenan menanam pokok Swietenia Macrophylla atau dikenali sebagai Tunjuk Langit manakala Tengku Permaisuri Norashikin pula pokok Delonix Regia atau dikenali sebagai Semarak Api.

Selain itu, Tengku Amir juga menanam pokok Caesalpinia Sappan atau juga dikenali sebagai Pokok Sepang.

Pada masa sama, Amirudin dalam ucapannya berkata, Program Tanam Pokok Negeri Selangor itu diadakan selaras dengan titah Sultan Selangor agar pokok-pokok hijau ditanam secara meluas di seluruh negeri.

Katanya lagi, baginda juga telah berkenan agar penghijauan alam sekitar hendaklah menjadi satu perkara berterusan di mana semua pihak perlu mengambil tindakan untuk menanam lebih banyak pokok.

“Dalam erti kata lain, kita akan hanya berjaya menjadi sebuah negeri maju apabila berupaya memastikan pembangunan fizikal negara beriringan dengan pemeliharaan alam semula jadi dan kehijauan kawasan persekitaran.

“Justeru itu, kempen kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar perlu dilaksanakan secara konsisten dan melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sebanyak 1,500 pokok teduhan dan 3,000 pokok renek ditanam oleh 2,000 peserta yang melibatkan keluasan kawasan penanaman 58,669 meter persegi dalam program itu. - UTUSAN ONLINE