Sultan Selangor bertitah, baginda telah dimaklumkan bahawa empat atau lima batang sungai di Selangor telah tercemar dengan bahan-bahan buangan dari sisa pepejal dan sisa toksik.

“Jika perlu, undang-undang hendaklah dibuat untuk mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah-pesalah yang mencemarkan sungai-sungai di Selangor ini.

“Selain itu, pendidikan kepada masyarakat perlu ditambah lagi seperti mengadakan kempen-kempen yang memberi kesedaran agar menjaga kebersihan sungai-sungai yang menjadi salah satu sumber air di Selangor,” titah baginda pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin seterusnya menitahkan supaya kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Selangor dikekalkan serta dipelihara dengan baik supaya sumber air di negeri itu mencukupi dan tidak terjejas untuk masa akan datang.

Titah baginda, kerajaan hendaklah memastikan bahawa tiada aktiviti pembalakan berlaku di hutan-hutan simpan dan kawasan tadahan air ini, selain memperluas program penanaman pokok yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memelihara kehijauan alam sekitar. - BERNAMA