Tegas Sultan Sharafuddin, penghinaan itu sudah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam dan sewajar pihak tidak bertanggungjawab tersebut dihukum bagi mengelakkan keharmonian serta perpaduan di negara ini bertukar menjadi permusuhan di antara kaum.

Berikut adalah kenyataan penuh Sultan Selangor yang dibuat melalui Dewan di-Raja Selangor:

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berbincang dengan Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor pada 4 Mac 2019, telah melahirkan rasa kekecewaan dengan perbuatan menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah SAW oleh segelintir golongan bukan Islam sejak kebelakangan ini.

Kejadian penghinaan terhadap Rasulullah SAW serta isu-isu yang mencemarkan kesucian agama Islam telah kerap kali berlaku dan telah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam.

Agama Islam yang merupakan agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seharusnya perlu sentiasa dihormati oleh setiap rakyat di negara ini.

Walaupun perbuatan penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan penghinaan terhadap kesucian agama Islam ini merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan tindakan undang-undang serta hukuman juga telah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, namun demikian ia masih tetap berlaku dan seolah-olah tiada kesan terhadap tindakan undang-undang yang diambil ke atas golongan ini.

Bagi membendung gejala penghinaan ini agar tidak terus berlaku tanpa kawalan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan kepada rakyat khususnya golongan bukan Islam agar menghentikan perbuatan mempersendakan keperibadian Rasulullah SAW dan mencemarkan kesucian agama Islam kerana perbuatan itu boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat, malah boleh menyebabkan rusuhan antara kaum dan agama di negara ini.

Sejarah telah menunjukkan sesebuah negara boleh porak-peranda sekiranya rakyat bermusuhan atas sebab tidak menghormati agama yang dianuti oleh pelbagai kaum.

Sebagai Raja yang merupakan Ketua Agama Islam Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan menegaskan bahawa melindungi maruah agama Islam serta maruah junjungan Rasulullah SAW adalah merupakan tuntutan utama dalam maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk sentiasa mempertahankannya.

Oleh itu, peringatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor perlu diambil serius oleh rakyat keseluruhannya terutama golongan bukan Islam jika inginkan keharmonian dan perpaduan di kalangan kaum serta agama di negara ini terus berkekalan.

Peringatan ini juga bukan sekadar untuk golongan bukan Islam tetapi termasuk juga kepada umat Islam. Umat Islam sendiri pun sentiasa perlu berwaspada dalam melontarkan pandangan berkaitan agama lain.

Malah Allah S.W.T mela­rang keras umatnya mencerca sembahan agama lain kerana ia antara penyebab kepada berlakunya ketidakharmonian hidup dalam masyarakat. Islam adalah agama yang amat mementingkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan turut merasa terkesan dengan kekecewaan yang dilahirkan Tuanku Sultan berkaitan dengan isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan agama Islam ini.

Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menggesa pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara mengambil berat atas peringatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan mengambil langkah-langkah yang berkesan serta efektif bagi menangani masalah ini.

Penyiasatan terperinci terhadap mereka yang disyaki melakukan kesalahan perlu segera dilaksanakan dan tindakan pendakwaan diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi.


HANAFISAAH JAIS


Se­tiau­saha 


Dewan di-Raja Sela­ngor