Modul fiqh kesihatan yang memberi tumpuan kepada aspek pemakanan dan kecergasan serta buku Hadith Nailul Marram Fi Ghazawati Khairil Anam yang mengandungi hadis jihad itu akan dijadikan buku pe­ngajian kuliah agama di semua masjid di negeri ini.

Sultan Nazrin melancarkan modul dan buku tersebut dalam Majlis Anugerah Kecemerla­ngan Pendidikan Islam peringkat negeri di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini hari ini.

Keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim disambut Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan me­nyampaikan 31 anugerah kecemerlangan kepada pelajar dan pendidik serta tokoh guru, selain 26 penerima Sijil Pengajian Masjid Ne­geri Perak.

Yang turut diberikan penghargaan ialah 17 hafiz dan hafizah muda yang telah menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk.

Sementara itu, Mohd. Yusop berkata, modul fiqh kesihatan itu dijadikan sebagai bahan kuliah di masjid dengan me­ngandungi perkara berkaitan kesihatan termasuk aspek penjagaan dan pemakanan.

Katanya, menerusi modul itu, pihaknya cuba memecahkan tradisi majlis pengajian agama di masjid dengan memasukkan hal berkaitan jemaah.

“Jemaah ini kebanyakannya berumur dan kita bekerjasama dengan jabatan berkaitan untuk buat modul fiqh kesihatan, seterusnya dijadikan sebagai bahan kuliah di masjid,” katanya.

Mengulas lanjut beliau ber­kata, buku yang mengan­dungi lebih 300 hadis terpilih berkaitan jihad itu pula merupakan usaha pihaknya dalam memberi pemahaman jelas kepada masyarakat mengenai konsep jihad yang sebenarnya.

Katanya, masyarakat kini hanya melihat jihad sekadar peperangan sedangkan makna­nya luas dan meliputi pelbagai aspek.

“Kita cuba mengubah persepsi masyarakat untuk melihat jihad kerana membasmi kemiskinan dan kejahatan itu juga adalah satu jihad, bukannya sekadar peperangan,” katanya.