Titah baginda, berikutan faktor perkembangan globalisasi dan kemodenan itu, penyatuan umat yang sekian lama mewujudkan suasana harmoni di negara ini, kini berada dalam keadaan membimbangkan.

"Oleh itu, para pemimpin perlulah bijak dalam membimbing rakyat bagi mengelak sikap sangsi dan bersangka buruk yang (akhirnya) mengakibatkan pergeseran dan perpecahan.

"Kerukunan hidup serta nikmat aman damai yang telah sekian lama disemai dan subur dalam masyarakat mestilah dipertahankan," titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Berangkat sama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff.

Sultan Sallehuddin seterusnya menitahkan supaya langkah-langkah pemantauan yang ketat dilaksanakan untuk memastikan zon-zon industri di negeri ini mematuhi piawaian ditetapkan iaitu mestilah bersifat mesra alam sekaligus menjamin kelestarian alam sekitar.

Dalam hal ini, titah baginda, langah pengukuhan dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar perlu dilaksanakan dengan tegas bagi memastikan penjenayah alam sekitar dipertanggungjawabkan.

"Dalam mengejar kemajuan, alam semula jadi janganlah diabaikan. Bumi ini mesti dijaga dengan sebaik mungkin agar kualiti persekitaran yang baik dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat.

"Beta amat prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat Kedah," titah baginda lagi. - UTUSAN ONLINE