Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 8 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pegawai Daerah Mersing, Adib Azhari Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issac John.

Selepas menandatangani plak perasmian, Sultan Ibrahim kemudian berkenan melawat pameran yang diadakan di dalam bangunan tersebut.

Sementara itu Zulkurnain berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) memperuntukkan sebanyak RM4.7 juta bagi mengambil alih bangunan kerajaan dan diubah suai dijadikan Muzium Mersing.

“Muzium ini dirancang pembukaannya sejak 2014 dan pada permulaan ketika itu sejumlah RM300,000 diperuntukkan sebelum ditambah sehingga berjaya disiapkan.

“Kerajaan negeri juga akan menempatkan kakitangan tetap untuk bertugas di sini yang menjadi muzium kelima di bawah YWJ,” katanya.

Konvoi KMJ 2016 kemudian meneruskan perjalanan ke Felda Nitar 2, dekat sini kira-kira pukul 9 pagi dengan Sultan Ibrahim memandu trak Mack bersama-sama putera baginda, Tunku Temenggong, Tun­­­ku Idris Iskandar; Tunku Pang­lima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar dengan menempuh laluan sejauh 242 kilometer menuju ke daerah Kluang dan Segamat.

Sepanjang laluan berkenaan, konvoi tersebut singgah di beberapa lokasi termasuk Dataran Kahang, Persiaran Datuk Haji Ismail Hassan, Kluang dan Padang Awam Chaah sebelum mengakhiri perjalanan untuk beramah mesra dengan rakyat jelata di Taman Yayasan, Segamat.

Semasa singgah di lokasi-lokasi berkenaan, Sultan Ibrahim bukan sahaja turut beramah mesra dengan rakyat jelata, malah menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Di lokasi terakhir di Taman Yayasan, baginda turut berkenan menyaksikan sambutan rasmi bagi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berjaya menjuarai Piala FA menewaskan PKNS FC dengan ja­ringan 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.