Pelantikan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sulong Jamil juga merupakan Ketua Peneroka Wilayah Trolak dan merupakan Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) sejak tahun 2011.

Beliau mula menyertai tanah rancangan Felda Sungai Behrang pada tahun 1982 dan sejak itu telah terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kepemimpinan di peringkat rancangan dan wilayah termasuk Pengerusi Belia dan Timbalan Pengerusi Masjid.

Beliau juga pernah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak atas sumbangan dan jasa beliau kepada masyarakat.

Mengulas mengenai pelantikannya, Sulong Jamil berkata, antara aspirasi yang akan dibawa adalah memastikan kelancaran Program Pembangunan Peneroka serta Pengurusan Lestari Kebun Peneroka.

Ini kerana, menurutnya, usaha itu dilihat mampu meningkatkan pendapatan sekali gus memberi manfaat yang optimun kepada semua warga peneroka.

“Saya juga akan berusaha menjadi penghubung yang berkesan antara Felda dengan peneroka dalam mendapatkan pandangan dan juga sokongan mereka bagi inisiatif-inisiatif Felda.

“Kekuatan Felda terletak pada komuniti dan petugas. Menyantuni peneroka dan generasi baharu amat penting kerana jika mereka didedahkan dengan maklumat yang jelas, tidak susah untuk pengurusan melaksanakan dasar tetapi jika mereka dipinggirkan, dasar yang baik juga menjadi sukar untuk dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE