Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, apabila sesuatu acara sukan itu dilangsungkan, masyarakat tidak lagi mengambil siapa yang terlibat sebaliknya terus memberikan sokongan padu.

Beliau yang Menteri Pengangkutan berkata, ia bermula daripada institusi sekolah hingga ke peringkat antarabangsa.

"Oleh kerana itu, kita mesti memastikan tradisi yang telah menyatukan kita ini sentiasa hidup sejak di sekolah lagi.

"Sekolah mempunyai peranan membentuk, menyemai dan melahirkan ahli sukan yang hebat," katanya ketika berucap merasmikan padang hoki tiruan Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul dan Cabaran Piala Brother James Macken di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon dan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Prof. Datuk S. Shamala.

Beberapa tokoh sukan hoki yang pernah mendapat pendidikan di sekolah itu turut hadir antaranya bekas pemain kebangsaan, Gary Fidelis dan Penolong Jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen.

Anthony yang belajar di sekolah itu antara 1983 hingga 1989 gembira dengan pembinaan padang hoki tiruan itu hasil usaha pemimpin sekolah dan bekas murid SK St. Paul.

Padang itu yang dibina sejak Januari lalu menelan belanja sebanyak RM126,000.

Sementara itu, Van Huizen memberitahu, sekolah itu pernah melahirkan seramai 11 pemain hoki kebangsaan yang pernah mewakili negara untuk Sukan Olimpik.

"Pembinaan padang ini memberi makna yang amat besar dalam usaha melahirkan pemain hoki untuk negara pada masa depan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE