Suhakam dalam kenyataan hari ini turut menzahirkan kebimbangan berhubung perkara tersebut memandangkan tangkapan yang dibuat semalam membabitkan 20 individu termasuk kanak-kanak.

“Suhakam ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh mengakui bahawa kita sebenar-benarnya merupakan negara yang mempunyai pelbagai kebudayaan melainkan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil menghormati dan bertolak ansur amalan agama setiap individu,” katanya di sini.

Dalam pada itu, Suhakam menyeru agar tali persaudaraan dan belas kasihan akan menjadi dasar serta asas pengukuhan masyarakat dan bukan semangat kebencian atau layanan buruk terhadap pihak yang hanya kerana perbezaan.

“Hak untuk mengamalkan apa-apa agama perlu dinikmati oleh semua tanpa rasa takut untuk dikenakan tindakan,” katanya.

Sabtu lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang dipercayai pemimpin utama gerakan Syiah di negara ini dalam satu serbuan di Gombak, Selangor.

Timbalan Pengarah JAIS, Azlinda Azman berkata, pihaknya turut menahan 21 pengikut ajaran itu di sebuah premis yang dijadikan markas kumpulan fahaman itu pada jam 9.55 malam. - UTUSAN ONLINE